Randah Al-Hothali
Ketua Pengarah Komunikasi Korporat
media@sfd.gov.sa
Saudi Fund for Development (SFD) telah menandatangani tiga perjanjian pinjaman pembangunan dengan Republik Serbia, bernilai $205 juta untuk membiayai projek utama yang menyokong sektor pertanian, pendidikan dan tenaga. Perkongsian ini menandakan kemunculan pertama SFD di Serbia, bertujuan untuk memupuk pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang negara itu. Perjanjian ini ditandatangani oleh H.E. Sultan Al-Marshad, Ketua Pegawai Eksekutif SFD dan H.E. Siniša Mali, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Serbia, disaksikan oleh En. Ali Aldossary, Timbalan Duta Arab Saudi ke Bosnia & Herzegovina.
Mengulas mengenai perjanjian tersebut, En. Mali berkata, “Kami amat berbesar hati untuk menandatangani tiga perjanjian penting dengan Saudi Fund for Development, yang merupakan langkah konkrit yang pertama dilakukan selepas penandatanganan Memorandum Persefahaman tahun lepas. Kami berterima kasih atas sokongan ini. Projek yang dibiayai ini akan menyumbang kepada kewujudan pekerjaan baharu, pengukuhan ekonomi kami dan kedudukan yang lebih baik bagi Republik Serbia dalam komuniti saintifik dunia. Perjanjian ini juga akan mengukuhkan perkongsian jangka panjang antara Republik Serbia dengan Kerajaan Arab Saudi dan menyumbang kepada pelaksanaan serta pembangunan projek penting di negara kami.”
Perjanjian tersebut merangkumi tiga projek, termasuk pembiayaan $75 juta untuk Projek Memperkukuh Infrastruktur Pengairan di Pelbagai Kawasan, $65 juta untuk Projek Pembinaan Kampus Bio4 di Belgrade dan $65 juta untuk Projek Pembangunan Operator Sistem Penghantaran (Fasa 1).
Projek pertama akan membantu untuk memperkukuh sistem pengairan dan menambah baik pengurusan air di kawasan pertanian utama, dengan membina stesen pam air yang baharu, memulihkan terusan yang sedia ada, dan mewujudkan rangkaian pengairan moden yang meliputi lebih 230 km. Wilayah sasaran seperti Novi Slankamen dan Jasenicke Kapi, projek ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti pertanian dan memastikan pengagihan air yang cekap semasa tempoh kemarau.
Projek kedua akan membiayai pembinaan Kampus Bio4 di Belgrade, sebuah pusat penyelidikan saintifik perintis yang memberikan tumpuan kepada bioteknologi. Kampus Bio4 akan menempatkan enam fakulti, sembilan institut saintifik dan makmal canggih, termasuk makmal biokeselamatan tahap 3, di Universiti Belgrade. Pusat ini direka bentuk untuk mengumpulkan penyelidik, saintis dan ahli profesional untuk memacu inovasi dan kerjasama antara disiplin dalam bidang seperti biologi, perubatan dan penyelidikan air sisa.
Projek terakhir akan mengembangkan infrastruktur tenaga Serbia dengan membina talian penghantaran 400 kV baharu dan menaik taraf pencawang sedia ada, yang akan membantu untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan kuasa Serbia dan mengintegrasikan negara tersebut ke dalam pasaran elektrik Eropah melalui Koridor Elektrik Trans-Balkan.
Mengulas mengenai perjanjian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SFD, Sultan Al-Marshad berkata, “Menyokong pembangunan lestari melalui pembiayaan strategik dalam infrastruktur dan pendidikan ialah misi teras kami. Perkongsian dengan Serbia ini menggariskan komitmen kami untuk memupuk inovasi, meningkatkan produktiviti pertanian dan menambah baik keselamatan tenaga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari. Projek yang kami biayai akan membantu untuk mewujudkan manfaat berkekalan untuk rakyat Serbia dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi mereka.”
SFD komited untuk menyokong pembangunan lestari di peringkat global. Sebagai agensi pembangunan rasmi Kerajaan Arab Saudi, SFD telah membiayai lebih 800 buah projek di lebih 100 buah negara, dengan jumlah pembiayaan sebanyak $20 bilion. Pada tahun 2024, SFD meraikan 50 tahun kemajuan pembangunan global, dengan pengembangan terkini ke 11 buah negara baharu, termasuk Serbia.
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
Randah Al-Hothali
Ketua Pengarah Komunikasi Korporat
media@sfd.gov.sa